“Dia ni Cina ke Melayu?”, saya bertanya kepada diri sendiri ketika berlalu seorang gadis yang memakai ‘skirt’ di depan saya di sebuah gerai makan di Sri Gombak.
Saya tidak dapat memberi kepastian kerana gadis itu datang dari arah belakang saya. Namun, hati saya lebih condong untuk mengatakan bahawa beliau merupakan seorang gadis melayu kerana beliau datang bersama beberapa orang lagi yang kesemuanya Melayu termasuk dua orang seperti seorang ibu dan seorang bapa. Yang peliknya, si ibu bertudung, namun anak-anaknya langsung tidak bertudung.
Ketika sedang enak menghirup sup ayam dan menikmati nasi goreng kampong di Restoran tersebut, hati saya tidak henti-henti memikirkan tentang hal mereka, “Pelik la, kenapa lah makcik ni (si ibu yang bertudung) boleh membiarkan anak-anak mereka bebas keluar tanpa bertudung, ada yang berskirt pula lagi?”.
Memang, ini bukan kali pertama saya melihat keadaan sebegini .. si ibu berpakaian ala-ala Islam, si anak pula berpakaian mengikut cara Barat. Bahkan, saya tidak pelik sekiranya terserempak dengan ibu yang tidak bertudung bersama anaknya yang bertudung, kerana kapasiti anak yang sedar akan kewajipan menutup aurat tidak mudah untuk menyedarkan ibunya yang belum sedar. Ia berkait rapat dengan persoalan ‘kuasa’ dan ‘status’.
Dalam erti kata lain, walaupun si anak sedar bahawa ibunya salah kerana tidak bertudung, tetapi dengan kapasitinya sebagai seorang ‘anak’ membuatkan beliau sukar untuk mengatakan, “Ibu, pakailah tudung, berdosa kalau kita membuka aurat”. Namun tidak sebaliknya, gelaran ibu atau bapa itu sendiri telah meletakkan status yang tinggi melebihi anaknya. Maka dengan status itu, si ibu dan bapa punya ‘kuasa’ untuk menegur dan memimpin anak-anak mereka.
Penat otak saya memikirkan mengapa hal ini boleh berlaku. Setelah penat berfikir, apa yang mampu saya simpulkan adalah; mungkin sesetengah ibu atau bapa menganggap bertudung itu tidak lebih daripada sekadar adat semata-mata, seperti adat berselendang dan berpakaian hitam di tanah perkuburan dan sebagainya. Apabila mereka sudah memasuki peringkat umur tertentu, maka ‘adat’ wanita Melayu akan memakainya sebagai adat. Tidak kiralah dalam apa jua bentuk sekalipun, asalkan ‘rambut’ tidak kelihatan. Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada diantara mereka yang mengatakan, “Tunggulah dulu. Dah tua-tua sikit nanti pakailah”.
MENUTUP AURAT TIDAK MENGIKUT PEREDARAN ZAMAN
Kalau hati mengatakan tidak mahu, maka bermacam-macam alasan yang dikemukakan untuk mengelakkan diri dari melaksanakannya.
“Pakai tudung tak ikut peredaran zaman la”, inilah alasan ‘standard’ yang selalu dikemukakan oleh si gadis kampong dan kota yang enggan memakai tudung. Kononnya mereka mengikut zaman jika berjalan di tengah pekan dengan mendedahkan rambutnya yang ikal mayang.
“Monyet, beruk dan kera dalam hutan tu semuanya berbogel belaka. Jadi, binatang-binatang tu semuanya ikut peredaran zaman la? Kalau macam tu, cerdik siapa lagi .. Allah atau monyet?”, ini soalan saya kalau mereka berhujah dengan jawapan sedemikian.
Matikan hujah mereka dengan contoh-contoh yang ada di sekeliling kita. Allah itu Maha Kuasa. Dia berkuasa di atas segala-galanya. Dia tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, bahkan segalanya diciptakan untuk kita jadikannya sebagai perumpamaan. Agama fitrah ini perlu diperumpamakan dengan sesuatu yang bersifat fitrah juga.
Saya mahu bertanya, siapa yang mencipta bumi dan manusia? … orang barat atau memang Allah?
Kalau semua bersetuju mengatakan Allah yang menciptakan bumi dan manusia, mengapa kita perlu tunduk kepada telunjuk barat dalam menilai hakikat ketamadunan dan kemajuan? Sedangkan mereka juga mempunyai sorotan sejarah pasang dan surutnya. Bahkan sebelum era kebangkitan barat, Islam terlebih dulu telah lama bertamadun sebelum mereka. Jadi, siapa pula yang meletakkan ukuran ketamadunan ketika itu sebelum Barat hari ini? Siapa yang mencedok siapa? Mereka manusia, kita juga manusia..jadi apa bezanya? Masing-masing ada kepandaian dan kebodohan tersendiri. Tetapi Allah tidak. Dia Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, yang ghaib mahupun yang zahir.
“Dan Dialah Allah (yang disembah), baik di langit maupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan” (al-An’am: 3)
“Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi dan mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan yang kamu nyatakan, dan Allah Maha mengetahui segala isi hati” (at-Taghabun: 4)
Kalau begitu sekali kekuasaan Allah sehingga meliputi langit dan bumi, termasuk segala isi hati manusia, apakah Allah tidak tahu apa yang sesuai untuk makhluk-Nya, serta di manakah ukuran ketamadunan dan kemajuan yang sebenar untuk mereka?
Sedangkan manusia yang lemah ini menilai ketamadunan mengikut kemampuan akalnya yang terbatas serta ilmu mereka yang sedikit berdasarkan kepada satu sudut pandang tertentu sahaja. Ibarat orang melihat kecilnya air di dalam gelas, tanpa dia melihat besarnya kuasa air di lautan. Lalu dengan air itulah terjadinya Tsunami yang mematikan mata yang melihat kecilnya air tadi.
Barat menilai tamadun menurut kacamata material dan sains dengan menolak nilai-nilai moral, akhlak dan iman. Ketempangan itu justeru melahirkan manusia yang kering hatinya di tengah-tengah batuan dan besi pencakar langit.
Berbeza dengan Islam, tamadun menurut Islam adalah acuan yang meletakkan dunia sebagai jambatan ke akhirat. Pembangunan material yang dibangunkan adalah semata-mata sebagai suatu wasilah untuk membawa manusia mengenal Allah SWT dan mempertahankan agama. Allah dan Rasul adalah tunjang dan penentu, manakala kesejahteraan dan keadilan adalah asas perhubungan sesama manusia.
MENGAPA ISLAM MEWAJIBKAN WANITA BERTUDUNG?
“..dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (al-Maidah: 2)
Ayat 2 surah al-Maidah ini perlu disingkap bukan sekadar kepada kefahaman tolong menolong dalam perkara duniawi semata-mata, malah ia perlu difahami termasuklah dalam perkara keta’atan kepada Allah SWT.
Allah SWT menciptakan manusia hidup berpasangan, berpuak-puak dan berqabilah. Manusia tidak boleh hidup sendirian dan menyendiri. Tabi’at kejadian mereka perlu kepada pergantungan. Apabila dilahirkan, mereka digelar anak dan bergantung hidup kepada kedua ibu bapa. Kemudian ia membesar, punya kawan dan kerabat sebagai tempat ia bermain dan membina wibawa, lalu ia bergelar kawan. Kemudian ditiupkan pada dirinya perasaan cinta, lalu ia mencari pasangan untuk membina sebuah keluarga sebagai tempat untuk ia beroleh ketenangan dan mencurahkan kasih sayang, lalu ia bergelar suami atau isteri. Melalui perkahwinan tersebut dibiakkan pula zuriat mereka dengan anak-anak yang dilahirkan dari keduanya, lalu mereka bergelar ayah atau ibu pula. Dan begitulah putaran hidup manusia yang tidak terputus dari ikatan sesama manusia. Melalui ikatan itu jugalah mereka memperolehi ilmu dan mengenal Allah SWT. Maka, manusia jugalah yang menjadi wasilah buat dia mengenal Allah SWT. Begitu juga dalam hal tolong monolong dalam masalah aurat, Allah SWT telah berfirman:
“Katakanlah kepada lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka lakukan. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutup tudung ke dadanya …” (an-Nur: 30-31)
Dalam ayat ini, Allah SWT kaitkan anggota mata dengan anggota kemaluan, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya”. Ertinya, tindakan anggota mata dan anggota kemaluan mempunyai hubungan yang sangat rapat di antara satu sama lain. Bilamana seseorang memerhatikan aurat seseorang itu terbuka, maka secara tidak langsung anggota kemaluan mereka juga akan bertindak balas.
Ayat ini pula disebut untuk golongan lelaki dan perempuan. Jarang sekali diturunkan ayat al-Quran yang ditujukan untuk lelaki dan perempuan. Menunjukkan bahawa, kesannya tidak hanya berlaku kepada golongan lelaki, malah berlaku juga kepada golongan perempuan. Cuma didahulukan ayat tersebut untuk para lelaki kerana cabaran mereka dalam perkara ini adalah lebih besar jika hendak dibandingkan dengan golongan perempuan.
Di dalam hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
..فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ..وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ
“..maka zina mata itu adalah dengan melihat, .. dan kemaluanlah yang membenarkan sedemikian atau menafikannya” ((Hadis muttafaq alaih. Riwayat Bukhari, no. 6343 dan Muslim, no. 20))
Kemuncaknya di sini ... zina.
Maka tutuplah auratmu, anda telah membantu kaum lelaki dengan kebajikkan dan taqwamu …