Hikayat Musafir Si Pengembara...

Alam ciptaanNya sungguh indah dan luas...

Solat sunat witir adalah solat sunat yang ganjil bilangan rakaatnya sama ada satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan 11 rakaat. Ia dinamakan dengan witir kerana ditamatkan dengan satu rakaat dan berbeza dengan solat yang lain.


Hukumnya adalah sunat muakkad di sisi Mazhab Syafie dan jumhur ulama tetapi menjadi wajib di sisi Mazhab Hanafi.


Antara kelebihan solat sunat witir ialah Allah mengasihinya. Sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia telah melaksanakan apa yang disukai oleh Allah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a berkata: Solat sunat witir tidak wajib sebagaimana solat fardu tetapi ia adalah sunat. Kenyataan tersebut sebagai hujah dan dalil bahawa witir bukanlah wajib seperti solat fardu yang lima.


Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu ganjil dan suka kepada yang ganjil-ganjil. Oleh itu, witirlah kamu wahai ahli al-Quran. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`ie, Ibn Majah dan Ibn Khuzaimah).


Hadis ini menunjukkan bahawa betapa eratnya ahli al-Quran dengan solat witir kerana al-Quran merupakan kitab Allah dan witir itu merupakan ketunggalan Allah. Justeru digabungkan antara al-Quran dan witir. Kemungkinan juga kerana al-Quran kebiasaannya dibaca pada waktu malam dan ketika solat. Justeru amat sinonim hubung kait dan ikatan antara solat witir dengan pembaca al-Quran.


Hadis seterusnya yang bermaksud: Solat sunat witir dikurniakan kepada kita oleh Allah, dan ia satu solat yang lebih baik daripada unta merah. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tirmizi).


Ini menggambarkan kedudukan sebenar solat witir yang begitu tinggi di sisi Allah. Sehingga Rasulullah s.a.w membandingkan kelebihannya lebih daripada unta merah yang amat bernilai di sisi pengembala unta dan orang-orang Arab yang kaya.


Demikian juga Rasulullah s.a.w menegur dan berlepas diri daripadanya orang yang meninggalkannya dengan sabdanya yang bermaksud: Solat sunat witir adalah benar melaksanakannya justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah daripada golongan kami, Rasulullah mengulangi sebanyak tiga kali. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim).


Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh memelihara solat sunat witir sehingga baginda menyeru agar sesiapa yang khuatir tidak dapat mendirikannya pada lewat malam supaya mendirikannya pada awal malam.


Hal ini sebagaimana hadis daripada Jabir r.a berkata, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesiapa yang bimbang tidak dapat mendirikannya pada tengah malam maka berwitirlah pada awal malam, tetapi siapa yang mampu mendirikannya pada tengah malam itu dipersaksikan dan yang demikian itu adalah lebih baik.


Bilangan rakaat witir sekurang-kurangnya satu rakaat dan makruh melakukan satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat witir ialah tiga rakaat. Iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Namun, yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak 11 rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.


Adapun waktu solat witir ialah selepas solat Isyak hingga masuknya waktu solat Subuh. Solat witir boleh dilakukan secara berjemaah dan menjadi sunat pada bulan Ramadan dilakukannya bersama imam selepas terawih.


Solat witir tidak boleh dilakukan dua kali pada satu malam. Ini kerana apabila diwitirkan dua kali nescaya menjadi genap. Seterusnya, witir amat digalakkan perlaksanaannya pada akhir malam dan penutup bagi segala solat sunat. Walaupun begitu jika seseorang sudah berwitir dan ingin solat sunat yang lain juga dibolehkan. Disebabkan arahan pada hadis tersebut ditafsir dengan maksud seelok-eloknya bukan sebagai satu kewajipan. Ini berdasarkan kepada perbuatan Nabi yang solat selepas solat witir dan inilah juga yang difatwakan oleh Syeikh Abd al-Aziz bin Baz.


Bagi yang melakukan solat witir diberi pilihan sama ada melakukan pada awal malam selepas solat Isyak jika dibimbangi tidak bangun pada malam tersebut atau pada akhir malam jika diyakini dapat bangun pada malam tersebut. Ini lebih baik dan afdal. Hal ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti di atas.


Semoga kita menjadi ahli witir dan qiamullail bukan hanya terbatas pada bulan Ramadan sahaja tetapi terus berlangsung selagi hayat dikandung badan.


Niat Solat Sunat Witir Dua Rakaat:



"Aku solat sunnat witir dua rakaat kerana Allah Taala"


Zikir Selepas Solat Witir:




Dibaca tiga kali sebelum membaca doa :


Doa Solat Witir



"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu, dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu. Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai."

SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka.. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.

Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: "Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! "Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!"

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini adalah ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah. Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:

# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan 'keseronokan' atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

# Kita terlalu banyak 'komplen' dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar akan kemewahan, kemegahan dan kemasyhuran kehidupan duniawi sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah 'kematian' itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki: "Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan baginda memeranjatkan lelaki itu: "Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak."

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la... setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka... "

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.

Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu'alaikum. "