Hikayat Musafir Si Pengembara...

Alam ciptaanNya sungguh indah dan luas...

Solat sunat witir adalah solat sunat yang ganjil bilangan rakaatnya sama ada satu, tiga, lima, tujuh, sembilan dan 11 rakaat. Ia dinamakan dengan witir kerana ditamatkan dengan satu rakaat dan berbeza dengan solat yang lain.


Hukumnya adalah sunat muakkad di sisi Mazhab Syafie dan jumhur ulama tetapi menjadi wajib di sisi Mazhab Hanafi.


Antara kelebihan solat sunat witir ialah Allah mengasihinya. Sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia telah melaksanakan apa yang disukai oleh Allah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a berkata: Solat sunat witir tidak wajib sebagaimana solat fardu tetapi ia adalah sunat. Kenyataan tersebut sebagai hujah dan dalil bahawa witir bukanlah wajib seperti solat fardu yang lima.


Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah itu ganjil dan suka kepada yang ganjil-ganjil. Oleh itu, witirlah kamu wahai ahli al-Quran. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`ie, Ibn Majah dan Ibn Khuzaimah).


Hadis ini menunjukkan bahawa betapa eratnya ahli al-Quran dengan solat witir kerana al-Quran merupakan kitab Allah dan witir itu merupakan ketunggalan Allah. Justeru digabungkan antara al-Quran dan witir. Kemungkinan juga kerana al-Quran kebiasaannya dibaca pada waktu malam dan ketika solat. Justeru amat sinonim hubung kait dan ikatan antara solat witir dengan pembaca al-Quran.


Hadis seterusnya yang bermaksud: Solat sunat witir dikurniakan kepada kita oleh Allah, dan ia satu solat yang lebih baik daripada unta merah. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tirmizi).


Ini menggambarkan kedudukan sebenar solat witir yang begitu tinggi di sisi Allah. Sehingga Rasulullah s.a.w membandingkan kelebihannya lebih daripada unta merah yang amat bernilai di sisi pengembala unta dan orang-orang Arab yang kaya.


Demikian juga Rasulullah s.a.w menegur dan berlepas diri daripadanya orang yang meninggalkannya dengan sabdanya yang bermaksud: Solat sunat witir adalah benar melaksanakannya justeru sesiapa yang tidak solat witir dia bukanlah daripada golongan kami, Rasulullah mengulangi sebanyak tiga kali. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim).


Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh memelihara solat sunat witir sehingga baginda menyeru agar sesiapa yang khuatir tidak dapat mendirikannya pada lewat malam supaya mendirikannya pada awal malam.


Hal ini sebagaimana hadis daripada Jabir r.a berkata, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesiapa yang bimbang tidak dapat mendirikannya pada tengah malam maka berwitirlah pada awal malam, tetapi siapa yang mampu mendirikannya pada tengah malam itu dipersaksikan dan yang demikian itu adalah lebih baik.


Bilangan rakaat witir sekurang-kurangnya satu rakaat dan makruh melakukan satu rakaat sahaja. Sekurang-kurang sempurna solat witir ialah tiga rakaat. Iaitu melakukannya secara dua rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Namun, yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak 11 rakaat dengan mengucap salam selepas setiap dua rakaat dan diakhiri dengan satu rakaat.


Adapun waktu solat witir ialah selepas solat Isyak hingga masuknya waktu solat Subuh. Solat witir boleh dilakukan secara berjemaah dan menjadi sunat pada bulan Ramadan dilakukannya bersama imam selepas terawih.


Solat witir tidak boleh dilakukan dua kali pada satu malam. Ini kerana apabila diwitirkan dua kali nescaya menjadi genap. Seterusnya, witir amat digalakkan perlaksanaannya pada akhir malam dan penutup bagi segala solat sunat. Walaupun begitu jika seseorang sudah berwitir dan ingin solat sunat yang lain juga dibolehkan. Disebabkan arahan pada hadis tersebut ditafsir dengan maksud seelok-eloknya bukan sebagai satu kewajipan. Ini berdasarkan kepada perbuatan Nabi yang solat selepas solat witir dan inilah juga yang difatwakan oleh Syeikh Abd al-Aziz bin Baz.


Bagi yang melakukan solat witir diberi pilihan sama ada melakukan pada awal malam selepas solat Isyak jika dibimbangi tidak bangun pada malam tersebut atau pada akhir malam jika diyakini dapat bangun pada malam tersebut. Ini lebih baik dan afdal. Hal ini berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti di atas.


Semoga kita menjadi ahli witir dan qiamullail bukan hanya terbatas pada bulan Ramadan sahaja tetapi terus berlangsung selagi hayat dikandung badan.


Niat Solat Sunat Witir Dua Rakaat:



"Aku solat sunnat witir dua rakaat kerana Allah Taala"


Zikir Selepas Solat Witir:




Dibaca tiga kali sebelum membaca doa :


Doa Solat Witir



"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan kemaafanMu daripada balasanMu, dan aku berlindung denganMu seperti pujiMu sendiri ke atas diriMu. Maka segala pujian dan sanjungan sehingga Engkau redhai."

1 comments:

dalam bula ramadhan ni...kita banyakkan amal soleh kan...